DEMI ‘CONTENT’ YOUTUBE
DEMI ‘CONTENT’ YOUTUBE
HOUSTON: Demi mencari kelainan, seorang YouTuber lelaki di Texas, Amerika Syarikat (AS) retak tulang tengkorak selepas terjun ke dalam sungai dari sebuah jambatan.
New York Post melaporkan kecederaan dialami Saa Fomba menyebabkan lelaki itu dimasukkan ke hospital selama tiga hari untuk menerima rawatan.
Video aksinya itu tetap dimuat naik di saluran YouTube Fomba, pada Jumaat lalu.
Menerusi rakaman video itu, lelaki itu kelihatan memanjat struktur paling tinggi pada jambatan berkenaan.
Dia kemudiannya mengangkat kedua-dua belah tangan sebelum terjun ke dalam sungai, dan video itu dipercayai dirakam seorang wanita.
“Semoga video ini memberi motivasi untuk kamu mengejar impian.
“Bagi saya, tidak menyeronokkan jika menjalani hidup dengan cara normal,” katanya kepada kamera sebelum terjun ke Sungai Colorado.
Selepas berada di dalam air, Fomba kemudian dilihat melambai-lambai ke arah bot dan kemudian dibantu untuk dibawa ke tebing.
Susulan kejadian, pasukan paramedik bergegas ke lokasi dan membawa mangsa ke hospital.
Dalam pada itu, Fomba menerusi video berasingan berkongsi perkembangan terkininya di hospital.
“Ini hari ketiga saya di hospital. Saya masih boleh berjalan walaupun retak pada bahagian tengkorak.
“Beberapa individu menghantar kiriman mesej bertanya adakah berbaloi melakukannya?
GAMBAR HIASAN
“Tiada siapa mahu cedera, tetapi saya berpuas hati kerana dapat merealisasikan impian sendiri,” katanya.
Jurucakap pihak berkuasa memberitahu CBS yang Fomba dimasukkan ke Pusat Perubatan St David Austin Selatan.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada Fomba berdepan tindakan undang-undang atas perbuatannya itu atau sebaliknya.