PKPD DI KAMPUNG DESA BAJAU, KAMPUNG DASAR BARU
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Desa Bajau dan Kampung Dasar Baru di Lahad Datu, bermula Rabu ini hingga 15 Disember depan.
Memetik laporan BH Online, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan 665 ujian saringan dan 90 kes positif COVID-19 direkodkan di dua lokaliti itu.
“Atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di dua kampung itu, bermula 2 Disember hingga 15 Disember ini.
“PKPD ini membabitkan 914 rumah dengan jumlah 4,934 penduduk.
“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD di Sabah sama seperti aktiviti sosial tidak dibenarkan kecuali kedai runcit dibenarkan dibuka selain pasar boleh operasi dua kali seminggu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.