SINDIKET PENYELUDUPAN MUNGKIN PILIH SEMPADAN KELANTAN-THAILAND
KOTA BHARU: Polis tidak menolak kemungkinan penyeludup akan memilih laluan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, berikutan kawalan ketat di sempadan utara.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, berkata pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia di sempadan bagi mengekang sebarang penyeludupan.
“Saya tidak menolak kemungkinan penyeludup akan memilih sempadan Kelantan memandangkan kawalan di sempadan utara semakin ketat.
“Bagaimanapun, kita akan memperketat dan memperhebat kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
“Jika perlu, saya akan memohon bantuan daripada Bukit Aman untuk menambah kekuatan anggota,” katanya seperti yang dilaporkan BH Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Derma Darah Peringkat Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, pihaknya turut memberi fokus kepada laluan tikus yang dikenal pasti dan agensi berkaitan akan mengambil tindakan sewajarnya.
Selasa minggu lalu, seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, maut ditembak penyeludup dalam kejadian Selasa lalu.
Dalam kejadian 3.10 pagi itu, mangsa, Koperal Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah.