10 SUSPEK KES ROMPAK PESARA MARDI, JURUTERA DITAHAN
KUALA LUMPUR: Seramai 10 individu ditahan setakat ini berkaitan dua kes samun termasuk rumah bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Wan Hassan Wan Embong, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Assisten Komisioner Anuar Omar berkata, kesemua suspek termasuk suspek utama ditahan menerusi beberapa siri serbuan.
GAMBAR HIASAN
“Ya ada tangkapan, setakat semalam 10 orang termasuk suspek utama kes ini,” katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.
Difahamkan, satu sidang media oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin mengenai kes dan tangkapan itu dijangka diadakan hari ini.
Semalam, Dr Wan Hassan, 71, maut ditetak perompak di rumahnya di Bukit Bandaraya di ibu negara.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, rumah dihuni mangsa dan isteri, Sarifah Yusof, 70, dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.