FOSIL IKAN PAUS BERUSIA 5,000 TAHUN DITEMUI
BANGKOK: Fosil ikan paus yang lengkap dan masih terpelihara dianggarkan berusia antara 3,000 hingga 5,000 tahun ditemukan di Thailand, awal bulan ini.
Memetik laporan BBC, Fosil berukuran 12 meter yang dipercayai daripada spesies Bryde itu ditemukan 12 kilometer dari barat Bangkok.
Kumpulan pakar berharap penemuan itu dapat membuka lembaran baharu kepada sumber kajian mengenai masa lalu, khususnya berkaitan paras laut dan biodiversiti.
FOSIL IKAN PAUS SPESIES BRYDE DITEMUI BERHAMPIRAN PANTAI SAMUT SAKHON, BARAT THAILAND/BBC
Penyelidik Mamalia dari Universiti Kebangsaan Singapura, Marcus Chua berkata, penemuan fosil tulang itu jarang berlaku.
“Hanya sedikit subfosil ikan paus (ditemukan) di Asia dan hanya sedikit sahaja ditemukan dalam keadaan baik,” katanya.
Gambar fosil ikan paus itu yang dikongsi Menteri Alam Sekitar Thailand, Varawut Silpa-archa menunjukkan tulang mamalia itu kelihatan hampir lengkap.
Menurut ahli politik itu, lebih daripada 80 peratus fosil ikan paus ini dipulihkan, termasuk tulang belakang, rusuk, sirip dan bahu. Kepala paus itu dianggarkan sepanjang sekitar tiga meter.
Chua berkata, penemuan itu membolehkan penyelidik mengkaji perbezaan spesies itu pada masa lalu dengan ikan paus Bryde ketika ini.
Fosil itu juga akan memberikan maklumat mengenai keadaan paleobiologi dan geologi, termasuk keadaan permukaan laut, sedimen serta komuniti biologi kontemporari pada masa itu.
“Oleh itu, penemuan ini akan memberi laluan untuk mengetahui masa lalu apabila usia sebenar fosil itu diketahui,” kata Chua.
Usia sebenar fosil ikan paus itu masih belum dapat ditentukan dan ia diharapkan diketahui menjelang Disember ini.
Fosil itu ditemukan di pinggir pantai di Samut Sakhon. Paus Bryde yang masih wujud ketika ini hidup perairan beriklim tropika.