DATUK DITAHAN BERGADUH DI PUB
KUALA LUMPUR: Polis menahan 19 individu termasuk seorang daripadanya dipercayai berpangkat Datuk bagi membantu siasatan kes pergaduhan di sebuah pub di Jalan Puchong, di sini, kelmarin.
Memetik laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata selain menahan semua suspek termasuk seorang wanita yang berusia antara 38 hingga 59 tahun itu, turut dirampas dadah jenis ecstasy , syabu dan erimin untuk siasatan lanjut.
“Kita membuat serbuan di pub berkenaan hasil maklumat orang awam pada jam 11.20 malam. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sekumpulan lelaki masuk ke dalam pub itu dan memulakan pergaduhan.
“Mereka juga dilihat memukul tiga lelaki sehingga mengakibatkan kecederaan ringan di muka.
“Semua suspek dipercayai pergi ke pub itu untuk berhibur namun dimaklumkan tempat itu sudah penuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, semakan lanjut mendapati pub itu menggunakan lesen restoran dan bar yang sudah tamat tempoh sejak 3 Mei tahun lalu.
Semua suspek direman dua hari berakhir hari ini mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Daripada 19 individu yang ditahan itu, 15 daripadanya disambung reman hingga Isnin ini (30 November) ini untuk siasatan lanjut.
Sebelum ini, video rakaman CCTV berdurasi dua minit 24 saat tular di media sosial, memaparkan pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki.