PENDAKWAH SELEBRITI DIREMAN 5 HARI
SHAH ALAM: Pendakwah selebriti yang ditahan kerana didakwa merogol bekas jurujual sebuah pasar raya tahun lalu, direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap suspek berusia 25 tahun tersebut dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Shah Alam, Mohd Zamir Suhaimee.
GAMBAR HIASAN
Terdahulu, suspek yang memakai baju berwarna hijau tiba di pekarangan kompleks Mahkamah Shah Alam jam 9.32 pagi dan diwakili Peguam Syed Amirul Syed Edrus, lapor Utusan Malaysia.
Suspek ditahan selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, jam 11 malam tadi, susulan mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut jam 7.18 malam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata difahamkan mangsa berusia 23 tahun keluar dengan suspek yang dikenali menerusi Instagram kira-kira jam 8 malam pada 11 September tahun lalu.
“Mangsa menaiki kereta milik suspek jenis BMW untuk membuat perbincangan berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi dengan kaedah perubatan Islam.
“Suspek seterusnya membawa mangsa makan di kedai di Batu 3, Shah Alam dan kemudian ke rumahnya iaitu sebuah studio di Seksyen 7 dengan alasan untuk memberi penerangan bagaimana hendak pulih daripada penyakit kemurungan,” katanya.
Baharudin berkata, ketika berada di rumah tersebut, mangsa dirogol dan tidak berdaya untuk melawan selain mangsa tidak tahu cara keluar dari kediaman itu.
Suspek kemudian memberi amaran kepada mangsa untuk merahsiakan perkara itu serta memaklumkan mangsa akan dipantau daripada jauh.