TERNAK RUSA JANA PENDAPATAN
SELAIN TANAMAN SAWIT, PETOLA DAN CILI TURUT DITANAM
JERANTUT: Seorang peneroka FELDA Sungai Retang selain mengusaha ladang sawit sebagai rutin dan pendapatan utamanya turut menternak rusa baka Cervus Timorensis sejak 2014 sebagai percubaan pertama ke arah tujuan komersial.
Peneroka tersebut, Ishak Ayob, 61, mula merintis penternakan rusa ketika harga sawit yang tidak menentu, beliau menternak haiwan itu sebagai pendapatan sampingan untuk menambah hasil pendapatan keluarga tanpa bergantung sepenuhnya hasil sawit.
“Mulanya, saya membeli lima ekor rusa baka ini daripada seorang rakan dengan harga seekor RM2,500, saya melabur sebanyak RM20,000 termasuk membeli baka, penyediaan pagar tinggi 2 meter dan pintu pagar dawai berduri.
“Penjagaan rusa lebih jimat malahan tidak cerewet berbanding lembu atau kambing selain haiwan ini cepat membiak serta boleh dijual setelah berusia satu hingga satu setengah tahun, baka yang dipilih berasaskan pandangan beberapa orang rakan kerana haiwan ini tahan lasak dan jarang terkena serangan penyakit,” katanya.
Katanya, rusa mudah dipelihara malah tidak memerlukan ubat-ubatan atau vitamin seperti lembu atau ternakan lain, cuma memerlukan kawasan yang selesa dan selamat selain memagar kawasan ternakan itu dengan pagar setinggi 2 meter.
“Peringkat permulaan bimbang juga kerana tidak mempunyai pengetahuan ternakan rusa tetapi semangat yang tinggi serta mendapat nasihat dan pandangan daripada rakan yang pernah menternak rusa, saya terus mencuba menternak atas tujuan untuk dikomersilkan.
“Ternakan ini tidak begitu cerewet hal makanan cuma diberi makan sebanyak dua guni rumput Napier (Pennisetum purpurium) dibeli dengan harga RM50 seguni dan dihabiskan dalam tempoh lima hari, manakala dedak diberikan secara rutin sehari dua kali,”katanya.
Katanya, sejak enam tahun memelihara rusa, cuma dua ekor mati manakala selebihnya baka ini membiak dengan cepat dan boleh dijual dengan harga antara RM3,000 hingga RM4,000 seekor dengan berat antara 50 – 60 kilogram
“Sehingga ini saya mempunyai 14 ekor rusa sedia untuk dijual sekiranya ada permintaan malah ada yang masih bunting dijangka ternakan ini bertambah penghujung tahun ini, permintaan daging rusa amat tinggi tujuan masakan Barat dan tempatan,”katanya.
Selain itu, Ishak turut mengeluarkan modal sebanyak RM50,000 untuk belanja mengurus pembersihan tapak tanaman , membeli peralatan polybeg, baja, racun, membina bangsal teduhan, saluran paip air dan lojistik tertentu untuk tanaman petola dan cili kulai.
“Saya berterima kasih kepada pihak FELDA memberi kebenaran mengusaha tanah kosong untuk menanam sayur-sayuran petola dan cili Kulai 461 sejak dua tahun lalu dan hasil tanaman sudah dijual di Pasar Selayang (Selangor) dan bandar Jerantut malahan sehingga ini hasilnya sudah memberikan pulangan modal.
“Walaupun harga petola yang dijual kepada pemborong dengan harga antara RM1.80 hingga RM2.00 dianggap rendah tetapi saya tetap meneruskan usaha ini sambil berharap pengeluaran cili Kulai 461 pada awal bulan Disember nanti mampu memberi pulangan yang lumayan kerana harganya mencecah antara RM17 hingga RM20 sekilogram,” katanya.