CURI PITBULL BELI DADAH
BUTTERWORTH: Perbuatan lelaki mencuri seekor anjing jenis Pitbull dianggarkan bernilai RM10,000 di Kampung Paya, di sini, pada Sabtu lalu akhirnya kecundang apabila dia diberkas polis, malam semalam.
Suspek berusia 21 tahun itu ditahan pada 11 malam di sebuah kuarters di Jalan Berlian, di sini, melalui Op Cantas yang dilancarkan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dijalankan susulan maklumat pemiliknya yang menyedari haiwan peliharaannya hilang bersama empat rim motosikal.
“Pemilik anjing berusia 39 tahun menyedari kehilangan anjing berwarna hitam itu kira-kira 2 petang Sabtu lalu.
“Dia memaklumkan menambat anjing berkenaan dan mengurungnya di dalam sebuah sangkar dalam kandang terbabit.
“Selain itu, empat rim motosikal juga hilang dipercayai dilarikan individu tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, pemilik anjing itu memberitahu dia mempunyai lesen untuk membela haiwan berkenaan bagi menjaga ternakannya seperti lembu, ayam dan itik.
“Berpandukan maklumat, polis berjaya menjejaki keberadaan suspek dan membuat tangkapan ke atasnya malam tadi.
Rim motosikal berwarna merah yang dirampas polis -foto PDRM
“Polis turut berjaya menjumpai semula anjing itu dipercayai cuba dijual selain dua rim motosikal berwarna merah,” katanya.
Menurutnya, hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan kegiatan itu seorang diri dan mahu menjual anjing terbabit bagi membeli dadah.
Katanya, suspek yang mempunyai dua rekod jenayah ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.