MUHYIDDIN PERLU DIINGATKAN MENGENAI ANGKA
BN MILIKI JUMLAH KERUSI TERBANYAK BERBANDING PARTI LAIN DALAM PN
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan menitipkan pesan pihak yang dekat dengan Muhyiddin Yassin agar mengingatkan perdana menteri itu tentang angka yang membentuk (kerajaan) Perikatan Nasional (PN).
SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan
Ahmad berkata, BERSATU memegang 31 kerusi Parlimen hanya setelah sejumlah ahli Parlimen daripada UMNO dan PKR menyertai parti itu, dan ia masih tidak dapat menandingi UMNO.
“BN pada asalnya (sebaik selepas PRU14) ada 79 kerusi parlimen, jauh berbeza (tetapi) timbalan menteri pun tak dapat. BERSATU pula jadi perdana menteri,” katanya dalam wawancara bersama Malaysia Gazzete.
Untuk rekod, BN kini memiliki 42 kerusi Parlimen setelah 14 ahli Parlimen dari UMNO menyertai BERSATU dan parti-parti komponen di Sarawak dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di Sabah keluar gabungan itu, serta kematian Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman pada 16 November lalu.
Gambar Hiasan
“Politik ialah permainan angka, dan itulah angka sebenar. Tapi kadang-kadang kita terlupa di mana duduk kita. Saya harap mereka (BERSATU) tak lupalah.
“Alangkah baiknya, jika orang-orang yang menasihati beliau (Muhyiddin) memberikan angka-angka ini dan mengingatkan angka-angka ini.
“Bahawa betapa pentingnya dalam perkongsian politik, mereka yang mempunyai suara yang lebih ramai itu diberikan jawatan yang lebih senior, dan kementerian yang lebih penting,” katanya.