SEPARUH AKHIR MUZIK MUZIK KE 35 TUNDA
SEPARUH AKHIR MUZIK MUZIK KE 35 TUNDA
KUALA LUMPUR: Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) mengumumkan seorang artis yang menyertai Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35, yang berlangsung sejak kelmarin, dijangkiti COVID-19 berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan.
STMB dalam kenyataan menyebut, artis terbabit sedang menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan.
Menurut kenyataan itu, artis terbabit menjalani ujian saringan COVID-19 selepas mengetahui kontak rapat yang ditemuinya, Selasa lalu, didapati positif wabak itu, semalam.
Memetik laporan BH Online, artis terbabit menjalani ujian mandatori COVID-19 yang dikendalikan KKM semalam dan disahkan positif, hari ini.
“STMB sedang bekerjasama rapat dengan KKM dan artis berkenaan untuk mendapatkan maklumat terperinci pergerakan beliau bagi mengurangkan risiko kebarangjangkitan kepada warga kerja dan semua yang terbabit dalam program SFMM35.
“Pada masa sama, kerja sanitasi di lokasi acara, Sri Pentas 2 juga dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) KKM,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, STMB memutuskan siaran langsung pentas akhir SFMM35 yang dijadualkan malam ini, ditunda kepada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“STMB sentiasa mengutamakan kesihatan kakitangan dan pelanggannya serta sentiasa akur dengan setiap SOP ditetapkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kakitangan yang terbabit dalam produksi sudah memulakan kuarantin dan bekerja secara virtual di rumah masing-masing bermula hari ini.
“Kakitangan STMB yang juga kontak rapat dengan artis terbabit turut menjalani ujian calitan COVID-19,” katanya.