ALIF SATAR POSITIF COVID-19
ALIF SATAR POSITIF COVID-19
KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Alif Satar mengesahkan dirinya positif COVID-19.
Alif yang membuat pengumuman itu melalui entri Instagram (IG), kira-kira sejam lalu, terkejut dengan keputusan ujian saringan yang diterima, hari ini.
“Dalam kesibukan penggambaran, saya sudah melakukan beberapa ujian saringan COVID-19.
“Malangnya, keputusan terkini yang baru diterima hari ini menunjukkan saya positif.
“Perkara ini amat mengejutkan dan mendukacitakan,” katanya dalam entri itu.
Alif berkata, perkara pertama yang difikirkan adalah keselamatan keluarga, isteri dan anak-anak termasuk rakan di set penggambaran dan kontak rapat.
Melalui perkongsian itu, Alif menyatakan sudah menyerahkan senarai nama dan butiran kontak yang dikenal pasti dalam tempoh 14 hari lalu kepada Kementerian Kesihatan.
“Saya mohon maaf atas segala kesulitan ini. Saya mohon doa semua supaya diberi kesembuhan dan kekuatan untuk menempuhi dugaan Allah SWT.
“Saya berdoa supaya semua terhindar daripada sebarang kemudaratan,” katanya.
Alif menambah, dia sedang menjalani proses kuarantin.
Kelmarin, Alif tampil mendendangkan lagu I Want You To Love Me pada Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.