PAHANG PERUNTUK RM6. 3 JUTA UNTUK PROJEK RRP
PAHANG PERUNTUK RM6.3 JUTA UNTUK PROJEK RRP
KUANTAN: Sebanyak 98 projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) membabitkan peruntukan kira-kira RM6.3 juta disediakan kerajaan negeri bagi memastikan lebih ramai golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri.
Pelaksanaan projek terbabit sedang dilaksanakan secara berperingkat di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Pahang, sejak awal tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Rahim Muda, jumlah peruntukan itu diperoleh dari Tabung Perumahan Kerajaan Pahang yang diperkenalkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sejak dua tahun lalu.
“Dana untuk melaksanakan projek ini adalah dari Tabung Perumahan (kerajaan negeri) dan kita sudah mempunyai senarai penerima yang layak mendapat manfaat daripada projek RRP.
“Setiap penerima dipilih melalui senarai e-kasih disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mereka (penerima) perlu memiliki tanah sendiri bagi tujuan membina rumah berkenaan.
“Kos bagi setiap unit rumah RRP adalah RM65,000 dan ia ditanggung sepenuhnya kerajaan Pahang… ini adalah skim perumahan pertama seumpamanya di Malaysia dan mereka (penerima) tidak dikenakan sebarang bayaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program World Clean Up Day Peringkat Pahang di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Teknologi SWCorp, Ir Zulkifli Tambi Chik.
Mengulas lanjut mengenai projek RRP, Abd Rahim berkata setiap kawasan DUN diperuntukkan dua unit rumah dan satu unit bagi peringkat Parlimen.
Katanya, setiap unit RRP yang sudah diluluskan oleh kerajaan negeri perlu disiapkan kontraktor dilantik dalam tempoh enam minggu sebelum diserahkan kepada penerima.
“Pelancaran rasmi RRP akan dilakukan Menteri Besar dalam masa terdekat… ada antaranya sudah dimulakan dan kita harap ia dapat membantu impian penduduk negeri Pahang yang kurang berkemampuan, memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa,” katanya.
tamat