BURUNG KAKAK TUA DISELUDUP DALAM BOTOL
CUBAAN SELUDUP GAGAL AKIBAT BUNYI BISING
FAKFAK, INDONESIA: Puluhan burung kakak tua yang diisi dalam botol air plastik dijumpai dalam sebuah kapal yang berlabuh di wilayah Papua, menurut pihak berkuasa hari ini.
Polis di bandar Fakfak berkata, krew kapal mengadu terdengar bunyi bising dari sebuah kotak besar yang mengandungi burung nuri kepala hitam yang masih hidup dan 10 lagi burung yang ditemui mati pada pagi semalam.
Burung nuri kepala hitam adalah jenis burung kakak tua yang berasal dari Papua New Guinea dan pulau kecil berhampiran.
“Krew kapal memberitahu kami mengesyaki ada haiwan dalam kotak kerana terdengar bunyi pelik,” kata jurucakap polis tempatan, Dodik Junaidi.
Bagaimanapun, kata Junaidi tiada tangkapan dibuat setakat ini dan motif burung itu dalam kapal berkenaan tidak jelas.
Hutan luas di Indonesia menjadi habitat lebih 130 spesis burung yang terancam dan lebih banyak dari negara lain kecuali Brazil, menurut pemerhati haiwan liar, TRAFFIC.
Terdapat pihak yang menjalankan perdagangan burung secara besar-besaran. Ia boleh dilihat di pasar burung raksasa di kota besar dekat Indonesia atau turut diseludup ke luar negara.
Biasanya, burung eksotik diburu dan diperdagangkan oleh kumpulan penyeludup untuk dijual sebagai haiwan peliharaan dan simbol status.
Spesis burung tertentu seperti kakak tua palma Australia boleh dijual pada harga AS$30,000 (RM122,805) di pasaran gelap.
Pada 2017, pihak berkuasa Indonesia menjumpai kira-kira 125 ekor burung eksotik yang dimasukkan ke dalam paip longkang ketika serbuan penyeludupan hidupan liar.