BINA KUARTERS PEKERJA ASING
KAJI LANGKAH ELAK PENULARAN COVID-19
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji langkah mewujudkan kuarters pekerja asing bagi mengelakkan penularan COVID-19 di tapak pembinaan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
TAN Sri Annuar Musa
Bagi tujuan itu, beliau berkata, pihaknya sedang berunding dengan beberapa kementerian lain dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
“Kadangkala, ada pekerja asing duduk di bangunan baru siap dibina, jadi kita tidak mahu situasi ini berlaku lagi.
“Sebelum ini, berlaku penularan di tapak pembinaan Pavilion Embassy ketika gelombang kedua, dan kini berlaku lagi sehingga wujud Kluster Damanlela pula,” katanya dipetik Bernama.
Gambar Hiasan
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada persatuan penduduk Kuala Lumpur bawah program Wilayah Cakna 3.0, di sini, hari ini.
Annuar berkata, keadaan itu sekali gus membuktikan tempat tinggal buruh asing yang tidak memenuhi piawaian dan syarat, boleh mendatangkan bahaya sehingga membawa kepada penularan wabak berkenaan.