LANTIK 5 ADUN DEMI JAGA KEPENTINGAN MINORITI
BUKAN ADA AGENDA POLITIK, TAPI UNTUK JAGA KEBAJIKAN RAKYAT
JERANTUT: Keputusan kerajaan Pahang melantik lima ahli dewan undangan negeri (ADUN) tanpa proses pilihan raya adalah untuk membela nasib golongan atau kumpulan minoriti di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Keusahawanan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, dakwaan kononnya lantikan itu dibuat bagi mengukuhkan penguasaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Pahang adalah tidak benar sama sekali.
“Tuduhan itu sangat tidak masuk akal.. kenapa kita perlu kukuhkan kedudukan UMNO atau BN sedangkan kedudukan kita di Pahang memang tidak tergugat.. apatah lagi, sekarang kita bersama PAS dalam Muafakat Nasional, tidak ada apa yang perlu dikukuhkan.
“Tujuan utama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kemukakan usul itu adalah untuk memberi peluang kepada golongan atau kumpulan minoriti terus terbela.. contohnya masyarakat Orang Asli, mereka tidak ada wakil (dalam sidang DUN), jadi perlu dilantik wakil mereka.. begitu juga komuniti India dan Cina yang tidak ada wakil, perlu dilantik wakil mereka.
“Apabila ada wakil, mudahlah suara atau aduan mereka disalurkan dan dibahaskan untuk sama-sama cari jalan penyelesaian.. bukan ada tujuan politik, mereka (pembangkang) kalau boleh semua benda nak kaitkan dengan politik.. susahlah kita nak bantu rakyat kalau macam ini,” katanya.
NAZRI (paling kanan) ketika menghadiri mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Pahang
Usul lantikan lima ADUN itu dibuat Wan Rosdy ketika sesi penggulungan Belanjawan Pahang 2021 pada sidang DUN Jumaat lalu.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berpendapat keputusan kerajaan Pahang melantik lima ADUN bagi mewakili kawasan dan kumpulan minoriti adalah langkah yang tepat.
“Ini adalah keputusan besar kerana membabitkan pindaan pada Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri, kalau perkara ini tidak penting, saya rasa Datuk Seri Menteri Besar tidak akan kemukakan usul berkenaan.
AJK UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud
“Saya lihat perkara ini sebagai usaha positif dan bersungguh-sungguh kerajaan Pahang untuk membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau komuniti bantuan secara menyeluruh dan memudahkan proses perancangan pembangunan secara seimbang dilaksanakan,” katanya.