OPERASI PREMIS PERNIAGAAN DI PAHANG KEKAL JAM 12 TENGAH MALAM
OPERASI PREMIS PERNIAGAAN DI PAHANG KEKAL JAM 12 TENGAH MALAM
KUANTAN: Kerajaan Pahang tidak bercadang untuk memanjangkan tempoh operasi premis perniagaan sehingga jam 2 pagi, seperti diumumkan Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, setakat ini arahan pengoperasian semua jenis premis perniagaan di Pahang kekal sehingga jam 12 tengah malam.
“Arahan ini masih kekal dan dikuatkuasakan di semua daerah di Pahang… kita belum bercadang untuk melanjutkan masa operasi kerana wabak koranavirus (COVID-19) masih belum berakhir.
“Saya sudah meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meneruskan pemantauan bagi memastikan setiap premis perniagaan di Pahang beroperasi seperti ditetapkan.
“Begitu juga dengan arahan kepada pemilik premis, terutamanya premis perniagaan makanan, untuk mengekalkan jarak selamat antara pelanggan mereka bagi memastikan keselamatan pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program World Clean Up Day Peringkat Pahang, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Teknologi SWCorp, Ir Zulkifli Tambi Chik.
Abd Rahim berkata, keputusan itu tidak bermakna kerajaan Pahang tidak bersetuju dengan pengumuman dibuat Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 September lalu yang membenarkan premis perniagaan dan kedai serbaneka beroperasi sehingga jam 2 pagi.
Katanya, kerajaan Pahang sudah mengambil kira pelbagai faktor sebelum mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan operasi perniagaan selepas jam 12 tengah malam dan ia adalah bagi memastikan usaha memutuskan rangkaian COVID-19 dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
tamat