DIGANGGU KETUKAN ‘MISTERI’
PENDUDUK KAMPUNG DI SABAK BERNAM DAKWA DIGANGGU KETUKAN PINTU MISTERI TANPA BERI SALAM
SABAK BERNAM: Penduduk di beberapa kampung di daerah ini mendakwa diselubungi gangguan ketukan pintu rumah mereka tanpa memberi salam sejak kebelakangan ini.
Gangguan misteri itu dipercayai menganggu penduduk pada waktu malam hingga awal pagi membabitkan beberapa kampung di sekitar kawasan tersebut.
Menurut laporan SiakapKeli, Kisah ini diceritakan oleh salah seorang penduduk yang bernama Khairol Anuar selepas team SK menghubunginya hari ini. Khairol merupakan salah seorang mangsa gangguan tersebut.
“Selepas saya pulang dari berniaga, dalam pukul 10.30 malam macam tu, saya terdengar bunyi ketukan yang kuat dan berkali-kali tanpa memberi salam di pintu dapur rumah saya,” katanya.
“Pada mulanya saya biarkan sahaja sebab saya ingatkan anak saudara saya yang datang tapi hairannya bunyi ketukan itu sangat kuat seperti seseorang yang ingin masuk ke rumah dengan cepat. Saya pun ambil keputusan untuk intai di tingkap dan mendapati tiada siapa,” tambahnya lagi.
Paling mengerunkan, ketukan tersebut berbunyi sekali lagi, namun kali ini di dalam bilik air yang telah hanpir setahun keluarganya tidak guna.
“Seluruh tubuh saya menggigil dan bulu roma meremang secara tiba-tiba apabila mendengar ketukan kuat dari arah tandas tersebut.”
Sejurus kejadian tersebut, dia memuatnaik satu status di ruangan Whatsapp story. Lebih memeranjatkan lagi, beberapa penduduk kampung yang mengenalinya turut menceritakan perkara yang sama.
Katanya, semalam pun masih ada gangguan tersebut di beberapa buah rumah di kampung tersebut tetapi masih lagi misteri.