UMNO-PAS SEKUTU DALAM PRU KE-15
UMNO-PAS SEKUTU DALAM PRU KE-15
KUALA LUMPUR: UMNO tidak ada pilihan untuk bertanding dalam PRU akan datang hanya bersama PAS sebagai sekutu, seperti rancangan awalnya, menurut Setiausaha Agung BN, Annuar Musa.
Menurut laporan Malaysiakini, Annuar berkata, ini memandangkan PAS bertegas bahawa UMNO mesti turut menjadi rakan sekutu dengan BERSATU.
ANNUAR MUSA
“Dalam kajian kita, UMNO dan PAS ada kekuatan sendiri dan memang boleh menang (dalam PRU akan datang).
“Tapi tanya PAS, adakah PAS boleh menerima idea hanya UMNO dan PAS dan tinggalkan BERSATU?
“Pilihan ini tidak wujud.. PAS berpegang pada dasar UMNO, PAS dan BERSATU hendaklah bersama,” katanya dalam temu bual bersama Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan malam tadi.
Annuar mendakwa PAS menyatakan pendirian itu dengan jelas dalam mesyuarat Muafakat Nasional (MN) Rabu lalu.
Selepas kerjasama antara UMNO dan PAS membuahkan kemenangan di beberapa PRK selepas PRU 2018, kedua-dua parti itu memeterai kerjasama Muafakat Nasional pada September 2019.
Penganalisis politik berpandangan jika UMNO dan PAS berganding bahu dalam PRU akan datang, mereka mampu menyingkirkan BERSATU diketuai Muhyiddin Yassin dan merampas Putrajaya.
Bagaimanapun, PAS kini merupakan antara ahli Perikatan Nasional gagasan BERSATU. Usaha turut dilakukan untuk membawa BERSATU dalam Muafakat Nasional secara rasmi.
GAMBAR HIASAN
UMNO bagaimanapun dilihat berselisih dengan BERSATU apabila parti itu mendakwa tidak mendapat layanan dan penghormatan sewajarnya sebagai parti terbesar dalam gabungan PN yang membentuk kerajaan Persekutuan.
Pun begitu, kata Annuar, naratif itu adalah rekaan semata-mata.
“Itu cerita rekaan.. separuh daripada kabinet adalah (daripada) BN.. apa benda yang kita buat dalam kerajaan, kita boleh buat dan kita boleh ambil tanggungjawab.
“Tapi mengapa nak reka cerita (kononnya) kita tak dilayan dengan baik?” soalnya.
Menurut Annuar, UMNO telah menerima struktur kabinet tersebut ketika menyertai kerajaan pada Mac, justeru dia mempersoalkan mengapa suara tidak puas hati timbul selepas itu.
Dia turut menyifatkan UMNO terperangkap dalam superiority complex (kompleks tinggi diri), dan lupa bahawa ia tewas dalam PRU lalu.
Dia berkata keputusan untuk bekerjasama dengan BERSATU adalah keputusan bersama parti itu, dalam usaha untuk menolak kerjasama dengan presiden PKR, Anwar Ibrahim dan DAP.
Berkenaan jawatan timbalan perdana menteri daripada UMNO pula, dia berkata parti itu harus jelas sama ada tuntutan itu dibuat mewakili parti atau untuk kepentingan individu tertentu.
Soalnya, apakah UMNO mahu Muhyiddin mungkir janji untuk tidak melantik pemimpin berdepan tuduhan rasuah di mahkamah dalam kerajaan, atau apakah ia mahu mengabaikan pendirian presiden, Ahmad Zahid Hamidi untuk membersihkan namanya di mahkamah.
“Kalau tak mahu semua itu, bagitahulah demikian,” katanya.