PERINTAH BERKURUNG BERMULA SABTU INI
BAGI MEMBENDUNG COVID-19 DI CALIFORNIA
LOS ANGELES: California akan menguatkuasakan perintah berkurung di seluruh negeri bermula Sabtu ini untuk membendung peningkatan mendadak kes COVID-19.
Gabenor Gavon Newson, berkata penduduk tidak akan dibenarkan keluar rumah mulai jam 10 malam hingga jam 5 pagi setiap hari sehingga 21 Disember ini.
“Virus ini merebak dengan pantas pada kadar yang tidak pernah kita lihat sejak pandemik ini bermula.
“Hari dan minggu mendatang akan menjadi tempoh kritikal untuk membendung penularan pandemik ini. Kami sudah memberikan peringatan,” katanya dalam kenyataan, disiarkan AFP.
Beliau turut berkata, semua pihak perlu bersama-sama untuk bertindak mengurangkan penularan dan mengurangkan kemasukan ke hospital sebelum jumlah kematian meningkat.
“Kita pernah melakukannya sebelum ini dan kali ini kita harus melakukannya sekali lagi,” katanya.