POLIS BURU KAKI SKODENG
2 KALI INTAI JIRAN MANDI
JOHOR BAHRU: Seorang kaki skodeng diburu polis selepas disyaki mengintai jiran wanitanya mandi di sebuah kawasan perumahan di Taman Setia Indah, Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 23 tahun, dua hari lalu.
Katanya, ini adalah kejadian kali kedua dialami pengadu yang menyewa kediaman itu sejak dua bulan lalu.
“Pengadu membuat laporan dia diintai ketika sedang mandi di tandas rumah sewanya kira-kira pada jam 7.15 pagi.
“Dia menyedari perkara berkenaan selepas mendapati terdapat pergerakan orang di luar tandas melalui tingkap tandas yang sedikit terbuka ketika itu,” katanya dalam kenyataan disiarkan Malaysiapost.
Mohd Padzli berkata, mangsa mengesyaki jirannya yang melakukan perbuatan itu kerana hanya suspek yang sudah bangun pagi ketika kejadian berlaku.
“Mangsa turut membuat rakaman video pergerakan suspek menggunakan telefon bimbit namun gambarnya tidak jelas,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.