TADBIR URUS CEMERLANG, RAKYAT SENANG
BELANJAWAN PAHANG BANTU RINGANKAN BEBAN SEMUA PIHAK
JERANTUT: Pembentangan Belanjawan Pahang 2021 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Isnin lalu menunjukkan isyarat jelas bahawa kerajaan Pahang sangat peka dengan situasi semasa, terutamanya kesan COVID-19 terhadap kehidupan rakyat.
WAN Rosdy (dua dari kiri) bergambar sebelum membentangkan Belanjawan Pahang 2021
Selain menunjukkan contoh tadbir urus cemerlang, belanjawan itu juga dilihat mampu memberi impak menyeluruh kepada semua peringkat rakyat, sama ada golongan peniaga kecil dan penjawat awam kerajaan negeri.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, pengumuman pemberian bonus kepada penjawat awam kerajaan negeri sebanyak RM1,000 selain sagu hati kepada ketua kampung, imam dan bilal serta peruntukan khas kepada institusi agama juga memberi gambaran bahawa kerajaan pimpinan Wan Rosdy sangat mengambil berat semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Sudah tentu ia (Belanjawan Pahang) sangat memberi manfaat kepada banyak pihak dan ia adalah hasil kecekapan Datuk Seri Wan Rosdy serta ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang lain dalam mencorak pentadbiran yang berintegriti dan berdaya saing.
“Saya sangat yakin bahawa usaha dilakukan sebelum ini akan diteruskan dan setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan keperluan dan kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya.
AJK UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud
Razak turut memuji pendekatan kerajaan Pahang membantu peniaga kecil dengan membenarkan mereka menjalankan aktiviti perniagaan di mana-mana lokasi bersesuaian, bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mencari pendapatan tambahan.
Kerajaan Pahang pada Isnin lalu membentangkan Belanjawan 2021 bertemakan ‘Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama’ dengan lebihan RM5.332 juta, iaitu belanjawan lebihan kali ke-18 negeri, sejak 1992.
Gambar Hiasan
Wan Rosdy berkata, belanjawan itu menyediakan peruntukan RM795.466 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM201.915 juta bagi perbelanjaan pembangunan, manakala kutipan hasil negeri dianggarkan sebanyak RM800.798 juta.