PRU-15 LEBIH AWAL JIKA GRS MENANG
Berita Nasional
PRU-15 LEBIH AWAL JIKA GRS MENANG
KOTA BELUD: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh diadakan lebih awal jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.
Beliau berkata, PRN Sabah penting kerana ia penentu masa depan negara, khususnya rakyat Sabah.
“Di peringkat nasional, kita belum putuskan bila mahu adakan pilihan raya… tetapi di Sabah kalau kita sudah menang… kita cepat-cepatlah adakan pilihan raya di peringkat Pusat.
“Apa yang penting, PRN Sabah ini adalah isyarat untuk kita, sama ada rakyat menyokong Perikatan Nasional (PN) atau rakyat mahu saya menjadi Perdana Menteri… kerana kita mahu Malaysia bergerak maju ke hadapan dan kita mahu Malaysia berjaya. Salah satu cara untuk berjaya adalah terus bersama saya,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri dengan penduduk tempatan di sini, hari ini.
Acara itu turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; calon PN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Fairuz Renddan dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, rakyat Sabah perlu memastikan GRS menang dalam supaya kerajaan negeri sehaluan dengan Kerajaan Pusat.
“Keputusan ada di tangan rakyat Sabah… kalau ada pilihan untuk membentuk kerajaan baharu… jangan lagi pilih Parti Warisan Sabah (WARISAN) kerana Pakatan Harapan (PH) sudah tiada dan tidak lagi memerintah negara.
“Takkan rakyat Sabah masih mahu pilih pembangkang dalam keadaan yang begitu kritikal ketika ini, dengan ekonomi merundum kerana COVID-19… sebab itu, situasi sukar ini kita perlu atasi dan sebab itu kita perlu kerajaan sehaluan,” katanya.
Beliau berkata pemulihan ekonomi negara perlu dilakukan secara bersama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Walaupun kita terbaik dalam menangani COVID-19 tetapi kita tidak mahu nanti negara kita akan jadi yang terburuk dalam pemulihan akibat penularan COVID-19.
“Sekiranya kerajaan Sabah diterajui GRS selepas 26 September ini, saya berjanji akan bantu Sabah memulihkan ekonomi seperti sebelum penularan COVID-19… atau lebih baik daripada itu,” tambahnya.
Sumber: BERNAMA