MEKANIK SAMBILAN DIDAKWA MILIKI BAHAN PORNOGRAFI KANAK-KANAK
Berita Jenayah
MEKANIK SAMBILAN DIDAKWA MILIKI BAHAN PORNOGRAFI KANAK-KANAK
KUANTAN: Seorang mekanik sambilan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu memiliki imej dan video pornografi kanak-kanak, dan memiliki imej dan video lucah dalam alat peranti.
Tertuduh, Lim Min Soon, 40, mengaku bersalah selepas pendakwaan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Min Soon didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Haji Ahmad, dekat sini, pada 11 September lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Nasrul Hadi Abd Ghani.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali, serta penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang masih bujang itu diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Rahiza Zulkifli.
Dalam hujahan rayuan tertuduh, dia memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan dan menanggung perbelanjaan keluarganya selain ibunya berusia 63 tahun menghidap penyakit barah paru-paru tahap 4, bapanya berusia 74 tahun dan seorang adik perempuan.
Siti Aminah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 36 bulan dan denda RM10,000 ke atas tertuduh bagi pertuduhan pertama, jika gagal membayar denda, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara 12 bulan.
Bagi kesalahan kedua pula, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara selama 36 bulan sebaik selesai menjalani hukuman bagi kesalahan pertama serta menjalani rawatan kaunseling.
tamat