RUU PENGANGKUTAN JALAN (PINDAAN) DIBENTANG DI DEWAN NEGARA MINGGU DEPAN
Berita Nasional
RUU PENGANGKUTAN JALAN (PINDAAN) DIBENTANG DI DEWAN NEGARA MINGGU DEPAN
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 26 Ogos lalu akan dibentangkan semula di Dewan Negara minggu hadapan untuk diluluskan sebelum diwartakan.
RUU itu adalah antara inisiatif kerajaan dalam usaha mengekang pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata sekiranya RUU itu diluluskan dan mendapat sokongan semua Senator, ia boleh diwartakan selepas tempoh ditetapkan dan dengan hukuman yang lebih berat.
“Kita tidak menyekat hak sesiapa untuk minum minuman keras tetapi yang penting ialah kalau hendak minum jangan memandu, itu mesej yang jelas.
“Melihatkan kepada statistik kemalangan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, banyak kes yang membabitkan pemandu mabuk dan berdasarkan soal selidik dijalankan, daripada 345,000 orang, sebanyak 94 peratus mahu pemandu mabuk dikenakan hukuman yang berat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kempen #Celebrate Responsibly dan Sesi Dialog ‘Memandu Dalam Keadaan Mabuk: Dari Agenda Bersama ke Penyelesaian Bersama’ di Petaling Jaya di sini, hari ini.
Akta sedia ada memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 hingga RM20,000 jika disabitkan kesalahan.
Melalui pindaan, kadar denda yang dikenakan lebih tinggi sehingga RM150,000 dan tempoh penjara hingga 20 tahun serta penggantungan lesen memandu.
BERNAMA