BANTUAN BERTERUSAN UNTUK MANGSA KEBAKARAN
PENGURUS BESAR FELDA WILAYAH JENGKA, PENGERUSI JKKR ANTARA YANG TAMPIL
JERANTUT: Nasib malang menimpa keluarga peneroka FELDA Jengka 12, Ibrahim Mat Diah yang tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran rumah tengah malam kelmarin, terus mendapat pembelaan.
Pengurus Besar FELDA Wilayah Jengka, Afzal Hanis Abdul Kadir dan Pengerusi JKKR Gabungan FELDA Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar bersama-sama tampil menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.
Selain bantuan daripada Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka, sumbangan daripada Afzal Hanis serta pelbagai pihak sejak berita mengenai bencana menimpa keluarga itu tersebar semalam, diharapkan dapat meringankan bebanan ditanggung mereka.
Afzal Hanis ketika ditemui berkata, pihaknya sangat menghargai dan mengalu-alukan semua pihak untuk tampil memberikan sumbangan kepada keluarga terbabit.
“Alhamdulillah.. setakat ini memang ramai pihak yang tampil untuk sama-sama membantu Encik Ibrahim dan keluarga.. kita harap lebih banyak pihak boleh turut serta dalam meringankan kepayahan dihadapi keluarga ini.
“Semangat tolong-menolong sudah menjadi amalan dalam kalangan warga peneroka FELDA, terutamanya yang berada dalam Wilayah Jengka.. jadi, kita amat bertuah kerana sikap ini masih kekal dan kukuh dalam hati kami semua,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Afzal Hanis yang begitu cakna dengan nasib menimpa peneroka di kawasan berkenaan.
“Sikap prihatin Encik Afzal ini memang kami hargai.. bantuan kepada keluarga Ibrahim juga dapat kita selaraskan dengan baik dan ini adalah hasil semangat kerjasama dalam warga peneroka di sini,” katanya.