AZADAN RABBANI DIRAWAT AKIBAT DARAH TINGGI, JANTUNG TERSUMBAT
Berita Hiburan/Kehidupan
AZADAN RABBANI DIRAWAT AKIBAT DARAH TINGGI, JANTUNG TERSUMBAT
KUALA LUMPUR: Ketua kumpulan nasyid popular Rabbani, Azadan Abdul Aziz, 47, yang mengalami masalah saluran jantung tersumbat dimasukkan ke Hospital Selayang selepas tekanan darahnya meningkat, semalam.
Anaknya, Mohd Izwan Izzuddin atau Izwan, 23, berkata, bapanya kini stabil cuma tekanan darahnya masih tinggi dan kini di bawah pemerhatian doktor.
“Tekanan darah ayah masih turun dan naik. Risau apabila tekanan darah tinggi kerana kita tahu perkara ini permulaan pelbagai penyakit.
“Dan terbaharu, doktor mendapati ayah ada masalah jantung di mana saluran tersumbat selepas menjalankan ECG atau ujian ultrasound (echocardiogram).
“Disebabkan itu, ayah perlu ditahan di wad untuk pemerhatian. Sebelum ini, ayah tidak pernah mempunyai masalah jantung, tetapi mungkin perkara ini adalah satu hikmah untuk ayah berehat selepas kuat bekerja,”
Izwan memohon orang ramai mendoakan bapanya yang ditahan di wad, sejak tengah hari semalam cepat sembuh.
“Doakan ayah. Dia jarang macam ini, orang yang kenal ayah tahu bahawa dia bukanlah seorang yang lemah. Dia sangat kuat dan saya percaya ayah akan segera sembuh,” kata anak sulung dari empat beradik itu.
Sementara itu, Azadan menerusi aplikasi Whatsapp memberitahu, dirinya dalam keadaan baik dan berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakannya.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Insya-Allah, saya sudah stabil, tetapi sekarang masih ditahan di wad lagi.
“Mulanya, saya pergi ke klinik kerajaan untuk periksa mata sebelah kanan, kemudian doktor mengatakan tekanan darah saya tinggi.
“Jadi, doktor menyuruh saya terus ke wad kecemasan Hospital Selayang. Saya terus kena tahan sampai sahaja ke wad kecemasan,” katanya.
tamat