Projek LTU Simpang Pelangai hampir jadi kenyataan
Projek LTU Simpang Pelangai hampir jadi kenyataan
BENTONG – Ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam optimis projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) menghubungkan pekan Karak ke Simpang Pelangai akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Dia berkata, perkara itu adalah antara yang disentuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berkunjung ke Pahang pertengahan April lalu.
“Perbincangan lanjut mengenai LTU Simpang Pelangai memang dilakukan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Datuk Seri Anwar baru-baru ini.
“Perdana Menteri juga memberi komitmen untuk melihat perkara berkenaan dengan lebih teliti.
“Jadi, saya fikir pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Perpaduan Pahang di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pelangai, dekat sini, petang semalam.
Majlis itu dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah dan pimpinan utama semua parti komponen Kerajaan Perpaduan Pahang.
Projek LTU setakat ini sudah menghubungkan bandar Raub dan pekan Padang Tengku, Lipis.
Ia turut membabitkan pembinaan susur ke pekan Simpang Pelangai, namun projek itu masih belum dimulakan kerana belum mendapat peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.—– SAHIH