2 PELAJAR UMP LEMAS DI AIR TERJUN SUNGAI PANDAN
2 PELAJAR UMP LEMAS DI AIR TERJUN SUNGAI PANDAN
KUANTAN: Dua pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi bersama 11 rakan mereka di Air Terjun Sungai Pandan, dekat sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2 petang dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) diarahkan ke lokasi kejadian bagi tujuan pemeriksaan awal.
“Berdasarkan temubual bersama rakan mangsa, mereka mendakwa dua pelajar itu tidak timbul ke permukaan air selepas mandi bersama rakan yang lain di kawasan berkenaan.
“Seramai 10 pegawai dan anggota polis dengan bantuan 14 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas serta lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sementara menunggu bantuan Unit Selam Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang tiba, namun gagal menemui sebarang petunjuk,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Mohamad Noor berkata, mangsa dikenali sebagai A Sharvin Ananth, 24 tahun dan berasal dari Skudai, Johor, manakala seorang lagi mangsa dikenali sebagai R Goobi, berusia 23 tahun dari Karak, Pahang.
GAMBAR IHSAN JBPM PAHANG
Katanya, mayat kedua-dua mangsa akhirnya berjaya ditemui Unit Selam Skuba JBPM kira-kira jam 3 petang tadi dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk tujuan pemeriksaan dan bedah siasat.- SAHIH