TIADA KAD DIGITAL FIZIKAL VAKSINASI DIKELUARKAN
TIADA KAD DIGITAL FIZIKAL VAKSINASI DIKELUARKAN
PUTRAJAYA – Tiada kad digital fizikal vaksinasi dikeluarkan untuk penerima yang sudah lengkap suntikan vaksin Covid-19, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas video tular di media sosial mengenai pengeluaran kad digital fizikal vaksinasi yang memuatkan sijil vaksinasi Covid-19 beserta paparan jenis vaksin diterima.
Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini, tiada kad fizikal digital vaksinasi dikeluarkan sebaliknya hanya sijil digital vaksinasi yang dikeluarkan menerusi aplikasi MySejahtera, lapor KOSMO online
“Sijil digital vaksinasi itu boleh dicetak menerusi laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
“Bukti lain vaksinasi adalah menerusi kad suntikan vaksin yang diberikan kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya pada sidang akhbar mingguan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 hari ini.