Empat kampung dilanda banjir kilat di Raub dan Lipis, 64 mangsa ditempatkan di tiga PPS

RAUB : Seramai 83 orang dari 22 buah keluarga di Raub dan Lipis dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS)  di kedua buah daerah itu selepas kediaman mereka dilanda banjir akibat hujan lebat.

Kejadian tersebut menyebabkan 14 kediaman di Kampung Batu Talam, Kampung Ulu Atok dan Kampung Jenud terjejas selepas limpahan air Sungai Batu Malim dan Sungai Semantan, di Raub, manakala 19 mangsa dari lapan buah keluarga di Kampung Lubuk Kulit, Lipis dipindahkan ke PPS yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit.

Di Raub, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah, Kapten (PA) Samasuddin Kambade berkata, seramai 19 orang mangsa daripada empat buah keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Batu Talam yang dibuka pada pukul 2 pagi.

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Atok yang dibuka pada pukul 4 pagi menempatkan seramai 45 orang mangsa dari 10 keluarga.

“Penduduk berkenaan diarahkan berpindah ke PPS tersebut berikutan kediaman mereka dimasuki air yang boleh menjejaskan keselamatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujarnya, selain Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), agensi lain turut membantu, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Sementara di Lipis, hujan lebat berterusan lebih tiga jam menyebabkan sekitar kawasan Mukim Telang dekat sini dilanda banjir kilat mulai pukul 1 pagi hari ini.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah, Kapten (PA) Mohd Nor Azhar Yusof berkata, akibat kejadian itu seramai 19 orang mangsa dari lapan keluarga di Kampung Lubuk Kulit dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit.

“Mangsa terdiri daripada empat orang lelaki dewasa, wanita (4 orang), kanak-kanak lelaki (3 orang), kanak-kanak perempuan (3 orang) dan warga emas (6 orang).

“Banjir kilat di mukim tersebut dipercayai berpunca daripada hujan lebat tanpa henti sejak beberapa hari pada sebelah petang dan malam menyebabkan limpahan air Sungai Telang dan anak-anak sungai di kawasan Kampung Lubuk Kulit,” katanya dalam satu kenyataan di Lipis hari ini.

Menurut Mohd Nor Azhar, pihak APAM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut membuat pemantauan di kawasan banjir serta melakukan pemantauan paras air di lokasi kejadian.

Ujarnya, walau bagaimanapun tiada berlaku kecederaan dan kemalangan yang dilaporkan setakat ini.