PUNCA GIGI ROSAK DAN KAEDAH PEMBERSIHAN GIGI

Kebersihan gigi tidak boleh diabaikan. Gigi dan gusi merupakan elemen tubuh yang perlu dijaga dengan baik. Kekuatan gigi dan gusi penting untuk mengunyah dan menghancurkan makanan. Selain daripada faktor makan, kebersihan gigi memberi imej yang positif kepada individu.

Kesihatan gigi bergantung dengan cara penjagaan. Walaupun gigi akan rosak apabila sampai waktunya tetapi jangka hayat gigi boleh bertahan lama apabila dapat penjagaan dengan baik.

Antara faktor kerosakkan gigi dan gusi yang sering menjadi punca masalah adalah :

Plak Gigi

Plak gigi adalah lapisan bakteria yang nipis. Tidak berwarna dan sering diabaikan. Lapisan bakteria ini tidak bertindak secara drastik. Ia akan bertindak balas dengan sisa makanan dalam mulut dan lama-kelamaan akan menyebabkan gigi mudah reput. Punca utama plak gigi adalah sering mengambil makanan ringan, makanan manis dan kurang penghasilan air liur.

Karang Gigi

Dikenali juga sebagai kalkulus atau tartar. Karang gigi akan terkumpul di bahagian belakang gigi di rahang bawah dan permukaan luar gigi geraham. Untuk membuang karang gigi, pastikan buat pemeriksaan di klinik gigi sekurang-kurangnya 6 bulan sekali.

Kaedah Pembersihan Gigi

Pencungkil Gigi

Di perbuat daripada sejenis kayu atau plastik lembut untuk membersihkan celah gigi dan gusi. Hanya digunakan selepas makan untuk membersihkan celahan gigi yang terlekat sisa makan. Tidak sesuai digunakan untuk kanak-kanak. Berisiko kepada gusi luka yang dalam.

Floss Gigi

Floss gigi digunakan untuk membersih celah-celah gigi yang sukar dicapai oleh berus. Diperbuat daripada benang khas. Sesuai digunakan selepas makan. Gigi yang terlalu rapat juga boleh menggunakan floss gigi untuk buang sisa makanan yang terselit.

Berus Interdental

Berbentuk berus kecil seperti kon atau silinder. Terdapat dalam pelbagai saiz dan mempunyai pemegang. Berus interdental hanya boleh digunakan jika mempunyai ruang antara gigi atau gigi jarang dan menjaga gusi dari terluka.

Berus Gigi Elektrik

Berus gigi elektrik atau automatik lebih mahal berbanding berus gigi biasa. Tetapi berus gigi elektrik mengurangkan risiko kecederaan gusi semasa memberus gigi.

Keberkesanan berus gigi elektrik sama seperti berus gigi biasa. Berus gigi automatik sesuai untuk golongan yang memerlukan bantuan atau individu yang perlu mengehadkan pergerakan.

Kepada individu yang memakai pendakap gigi atau braces juga sesuai menggunakan berus gigi automatik kerana mereka memerlukan ketelitian semasa membersihkan celah dan permukaan gigi dengan berhati-hati.

Jenis Berus

Berus gigi elektrik dan berus gigi biasa yang digunakan mempunyai berus yang berlainan jenis untuk pembersihan secara maksimum. Berus gigi yang anda gunakan mestilah mempunyai berus/bulu/filamen yang lembut dan sesuai dengan persekitaran mulut.

Berus yang keras tidak menjamin kebersihan gigi malah jika menggunakan berus yang keras akan menyebabkan tisu gusi mudah luka, akar gigi terdedah dengan bakteria dan menyebabkan gigi sensitif semasa makan dan minum makanan panas atau sejuk.

Pastikan berus tidak terlalu kecil atau besar. Berus yang terbaik adalah dapat mencapai dan membersihkan gigi satu ke dua batang gigi dalam satu masa.

Ganti berus gigi atau kepala berus gigi automatik setelah berus menjadi kembang atau sekurang-kurangnya setiap 3 bulan. Berus gigi yang tidak sempurna tidak dapat membersihkan gigi dengan baik.

Kaedah Untuk Membersihkan Dan Menyimpan Berus Gigi

Jangan sesekali kongsi berus gigi dengan individu lain. Pastikan berus gigi dijaga dengan rapi. Berus gigi perlu disimpan dengan cara dengan betul kerana jika tidak, ia akan memberi kesan kepada persekitaran gigi dan mulut. Cara membersihkan berus gigi dengan betul adalah bersihkan berus gigi selepas digunakan. Bersihkan dengan air paip hingga bersih tanpa ada sisa ubat gigi yang tertinggal.

Simpan berus gigi secara menegak dan biarkan berus gigi kering. Jika berus gigi disimpan di tempat yang sama, pastikan berus gigi tidak bersentuhan dengan berus gigi lain. Elakkan simpan berus gigi dalam bekas yang tertutup kerana berus tidak kering sepenuhnya dan menggalakkan kuman membiak.