SURI RUMAH DIDENDA RM10,000 PUKUL BAYI ASUHAN
Berita Mahkamah
SURI RUMAH DIDENDA RM10,000 PUKUL BAYI ASUHAN
KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah didenda RM10,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini kerana memukul bayi asuhannya berusia empat bulan, sehingga mengakibatkan kesan lebam pada bahagian muka dan punggung mangsa.
Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman ke atas Nurul Aslamiah Kamarudin, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Aslamiah sebagai seorang pengasuh kepada bayi perempuan itu didakwa secara cuai menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dengan memukulnya sehingga lebam di muka dan paha kiri serta lebam dan luka di punggung sebelah kiri.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Presint 14, Putrajaya pada 5.40 petang, 18 September 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Nurul Aslamiah yang tidak diwakili peguam dalam nada sebak merayu hukuman denda minimum.
“Saya datang dari Terengganu, Yang Arif. Sekarang saya suri rumah sepenuh masa dan mempunyai seorang anak berusia lapan tahun manakala suami bekerja sebagai pembantu am,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyebabkan bayi tidak berdosa itu mengalami kecederaan.
- BERNAMA