SIMULASI BANJIR NORMAL BAHARU
SIMULASI BANJIR NORMAL BAHARU
TEMERLOH: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dengan kerjasama Urusetia Bencana Negeri mengadakan sesi meja bulat bagi melaksanakan simulasi pemindahan penduduk terjejas banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) menggunakan normal baharu di Sekolah Menengah Kuala Krau, pagi tadi.
Selain mengadakan perbincangan bersama semua agensi berkaitan, sesi itu juga turut mengenal pasti kaedah pengurusan di PPS dan proses membawa penduduk terjejas banjir yang mungkin mempunyai kontak rapat dengan penghidap COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin berkata, satu simulasi berkaitan pengurusan PPS akan diadakan di SM Kuala Krau bermula jam 10 malam ini.
“Untuk sesi pagi tadi, kita sudah selesai mengadakan perbincangan dengan semua agensi berkaitan… kita ada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan dan semua sudah diberikan taklimat berkaitan simulasi yang akan diadakan malam ini.
“Kita harap semuanya berjalan lancar dan dapat dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan… bagi proses pemindahan penduduk, kita sudah tetapkan bahawa semua petugas terlibat perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dan pelitup muka,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai simulasi yang akan dilakukan malam ini, Ali Syahbana berkata, simulasi terbabit akan diadakan berdasarkan situasi sebenar jika banjir dan memerlukan proses pemindahan penduduk dilakukan pada waktu malam.
“Ini adalah prosedur berdasarkan norma baharu kerana kita tidak boleh jangka bila banjir berlaku… mungkin waktu malam dan waktu siang… simulasi ini bermula malam ini hingga tengah hari esok… kita juga menyediakan kaunter saringan COVID-19 di semua PPS bagi memudahkan proses pemantauan… kita perlu sentiasa bersedia untuk segala kemungkinan,” katanya.