SELANGOR KOMPAUN KLINIK & HOSPITAL SWASTA
SELANGOR KOMPAUN KLINIK & HOSPITAL SWASTA
TIDAK LAPOR SECARA TERUS KES HARIAN SEBALIKNYA MENGUMPUL BILANGAN KES SEHINGGA 10 HARI
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan mengenakan kompaun kepada klinik atau hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif secara terus real time pada hari yang sama melalui Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, terdapat kes klinik dan hospital swasta yang dikesan tidak melaporkan kes pada hari yang sama dan hanya dikira dan melapor bilangan kes terkumpul 10 hari ke belakang backlog cases.
“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjelaskan bahawa peningkatan kes ini disumbang oleh beberapa faktor utama, antaranya ialah kes kumulatif (backlog cases) dari saringan pekerja kilang, saringan di penjara serta saringan di klinik dan hospital swasta tidak dilaporkan secara terus ataupun real time.
“Selain itu, pihak kami turut mengenalpasti kilang-kilang di seluruh Negeri Selangor sebagai kawasan utama perebakan wabak,” katanya melalui Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh pejabatnya.
Katanya, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri bagi Kawalan COVID-19 Negeri Selangor membincangkan mengenai peningkatan mendadak kes COVID-19 di Selangor seperti diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) petang semalam.
“Oleh itu Kerajaan Negeri akan melaksanakan Program Preventing Outbreak at Ignition Site (POIS) untuk melakukan saringan di semua kilang dan tempat kerja yang berpotensi mencipta kluster dan perebakan.
“POIS akan dilaksanakan dengan kerjasama JKNS, Selgate Corporation Sdn Bhd, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), “katanya.
Amirudin berkata, untuk mengelakkan tercetus kluster-kluster baru di kilang dan tempat kerja, kerajaan negeri akan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan tegas dan menutup kilang yang menyembunyikan kes positif di kalangan pekerja serta tidak memberikan kerjasama untuk aktiviti pengesanan kontak rapat.
Selain itu, turut bercadang untuk menambah pusat Covid Assessment Center (CAC) terutama di daerah Petaling, Hulu Langat dan Gombak dan berperanan menganalisa pesakit COVID-19 bagi dikelaskan mengikut kategori tertentu sebelum dibawa ke pusat kuarantin ataupun hospital untuk rawatan lanjut.
“Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS Serdang telah ditambah fasiliti dan mampu menampung tambahan 6,000 orang pesakit, fasiliti khas seperti khemah ICU dan peralatan perubatan turut telah disediakan.
“Saya menyeru semua rakyat untuk bersama-sama dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 ini dengan mengamalkan pematuhan SOP, kekal konsisten memakai pelitup muka dan jaga penjarakan fizikal,” katanya.