Sekolah Politik UMNO Langkah Awal Menuju PRU16
Sekolah Politik UMNO Langkah Awal Menuju PRU16
JERANTUT – Pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Konvensyen Barisan Nasional (BN) Pahang di Temerloh, semalam adalah tepat pada masa.
Idea menubuhkan Sekolah Politik UMNO itu juga dilihat sebagai persiapan awal parti berdepan cabaran pada PRU16.
AJK UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, melalui Sekolah Politik UMNO itu dapat membentuk calon yang bersedia untuk membawa cabaran parti apabila PRU diadakan.
“Itulah yang sebaiknya, siapkan awal-awal calon UMNO-BN supaya mereka dapat turun ke bawah berjumpa dengan pengundi.
“Sekaligus dapat membina hubungan baik dari awal dengan masyarakat setempat yang akan memberi kelebihan kepada calon dan parti,” katanya.
Dia juga yakin dengan kemampuan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang dipilih sebagai ‘pengetua’ bagi Sekolah Politik itu.
Katanya, kebijaksanaan Wan Rosdy ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan di Pahang sudah terbukti dan bakal memberi kelebihan kepada bakal calon yang menyertai Sekolah Politik berkenaan.
“Sebagai pemimpin nombor satu Pahang dan Naib Presiden UMNO, saya percaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sudah menilai kemampuan Datuk Seri Wan Rosdy sebelum dipilih sebagai ‘pengetua’.
“Saya percaya Datuk Seri Wan Rosdy akan menggunakan segala kemahiran yang ada untuk menjayakan pembentukan Sekolah Politik UMNO,” jelasnya.
Razak juga berharap setiap pemimpin pelapis dapat memberi kerjasama rapat kepada Wan Rosdy bagi memastikan perjalanan Sekolah Politik itu kelak dapat memenuhi hasrat Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO. – SAHIH