Sebelas rumah dilanda banjir kepala air di Kampung Sempadan
Foto atas : Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu seorang wanita untuk menyeberangi Sungai Sepan.
Sebelas rumah dilanda banjir kepala air di Kampung Sempadan
JERANTUT : Sebelas buah rumah dilanda banjir kepala air menyebabkan paras air Sungai Sepan tiba-tiba naik mendadak sehingga kira-kira satu meter pada jam 2.00 pagi di Kampung Sempadan, dekat sini, awal pagi ini.
Tiga puluh Sembilan orang daripada sebelas keluarga tidak sempat menyelamatkan peralatan dan dokumen penting kerana tidak sedar air tiba-tiba naik dari arah Sungai Sepan yang terletak kira-kira 30 meter daripada rumah penduduk kampung itu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Kapt. (PA) Muszaidi Musa melaporkan, ekoran daripada hujan lebat yang bermula pada jam 9.00 malam semalam, menyebabkan berlaku paras air naik dan melimpah memasuki rumah penduduk berdekatan sungai itu.
Katanya, terdapat lima buah rumah di Kg Sempadan dan tiga buah rumah di Kg Batu Balai dimasuki air dan mangsa di Kg Sempadan menumpang sementara di Balairaya Kg Sempadan dan paras semasa air menunjukan trend menurun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Sempadan, Samsuri Salamin berkata, kejadian banjir dipercayai berlaku disebabkan kepala air dari hulu Sungai Relai, Sungai Cheka dan Sungai Sepan akibat hujan lebat yang berlaku malam tadi.
“Penduduk yang terlibat memang tidak menjangka berlaku banjir kali ini kerana kejadian ini di luar musim tengkujuh.
“Paras air cepat menyebabkan 11 keluarga tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing kerana perlu menyelamatkan diri dan berlindung di Balai Raya Kampung Sempadan sebelum dibenarkan pulang sehingga air surut,” katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Lehan Yushak, 64 tahun berkata, hujan lebat mula berlaku pada jam 9.00 malam sehingga jam 11 malam dan paras air mula naik kira-kira jam 12 tengah malam.
“Selepas itu air bertenang dan tidak menjangka pada jam 2 pagi, datang sekali air melanda kawasan rumah dan memasuki dalam rumah dan dianggarkan sehingga satu meter.
“Memang terkejut kerana ahli keluarga ramai sudah nyenyak dan terpaksa dikejutkan untuk menyelamatkan barang,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut.
.Seorang penduduk di kampung itu, Rosmaniza Mohd Isa (43) tahun berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.00 pagi dan air mendadak bermula di bahagian dapur rumah dan semua ahli keluarga tergamam kerana baru tersedar dari tidur.
“Kejadian banjir kali ini sangat cepat dan kejadian banjir berlaku setiap tahun berlaku, kadang-kadang berlaku 2 kali setahun setiap musim tengkujuh.
“Tapi kali ini kejadian banjir luar jangka kerana di luar musim tengkujuh, saya sekeluarga sudah letih kerana setiap kali berlaku banjir banyak peralatan di rumah banyak yang rosak, diharap ada jalan penyelesaian,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kawasan Damak, Haris Salleh Hamzah ketika ditemui berkata, beliau akan cuba melakukan sesuatu untuk membantu rumah penduduk yang terlibat yang terletak berdekatan kawasan Sungai Sepan.
“Mungkin akan berbincang dengan pihak berkaitan sama ada akan mendalamkan sungai itu sebagai langkah jangka pendek,” katanya.-SAHIH.