SEBAB BENDERA JALUR GEMILANG MEREKA SANGGUP MELAWAN – FELDA JENGKA 24
SEBAB BENDERA JALUR GEMILANG MEREKA SANGGUP MELAWAN – FELDA JENGKA 24
JERANTUT: Warga peneroka Felda Jengka 24 sanggup ‘berlawan’ pasang bendera di halaman rumah masing-masing menjelang sambutan hari kebangsaan yang bakal disambut pada 31 Ogos ini.
Kelihatan di halaman rumah masing-masing sudah dihiasi dengan Jalur Gemilang yang turut merubah landskap keindahan yang menyerlahkan semangat patriotik yang ingin ‘berlawan’ antara satu sama lain di kalangan mereka.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, semangat cintai negara dengan ‘lawan’ pasang bendera menjadi-jadi sejak seminggu ini menjelang akhir bulan ini.
“Saya terkejut, pada hari ini ada halaman rumah yang ‘kusam’ tetapi menyerlah pagi esuknya kerana ada peneroka ‘sembunyikan’ idea hiasan Jalur Gemilang dengan memasang bendera menjelang tengah malam.
“Budaya ini sangat sihat sebagai menyemarakkan lagi semangat kekitaan dan juga negara khusus di kalangan generasi muda,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Nazran Yaakob berkata, seronok juga dalam keadaan pandemik, orang ramai tidak boleh ke mana-mana, dengan semangat melawan ini ada juga aktiviti yang menyeronokan bersama keluarga.
“Saya akan memerhatikan rumah orang lain menghiasi bendera Jalur Gemilang, ada juga mengambil idea mereka bagi menambah bendera untuk dipasang di rumah.
“Mungkin dianggap membazir tetapi apa salahnya, sekali sekala kita gembira dan menghiburkan diri dalam keadaan pandemik,” katanya.- SAHIH