“Sakit Hati Isu Menara, Saya Dikompaun RM10,000” – Ketua Penerangan BERSATU Hulu Langat
“Sakit Hati Isu Menara, Saya Dikompaun RM10,000” – Ketua Penerangan BERSATU Hulu Langat
KUALA LUMPUR – “Hanya kerana ada yang sakit hati berhubung isu konsesi menara, saya dikompaun RM10,000.”
Itu luahan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim yang mendakwa dikenakan tawaran kompaun oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) secara mengejut, semalam.
Menurutnya, kira-kira tiga hingga empat pegawai MCMC hadir ke kediamannya sekitar jam 11.30 pagi bagi menyerahkan dokumen tawaran kompaun di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Cara mereka datang ramai-ramai seolah-olah macam serbuan. Ia menyebabkan jiran-jiran terkejut dan cemas.
“Malah, ada pegawai yang dilihat sengaja merakam gambar suasana rumah saya tanpa penjelasan. Ini seperti satu bentuk intimidasi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Shafiq berkata, beliau percaya tindakan tersebut ada kaitan dengan kenyataannya sebelum ini berkaitan isu konsesi menara di Kuala Lumpur, yang mungkin tidak disenangi pihak tertentu.
“Saya dituduh memulakan komunikasi yang bersifat jelik melampau. Tapi tiada bukti kukuh dan tiada penjelasan yang munasabah diberi kepada saya mengenai kesalahan tersebut,” ujarnya.
Beliau juga mempersoalkan mengapa tawaran kompaun itu dikeluarkan sedangkan beliau sudah memberi kerjasama penuh dan mengemukakan fakta yang relevan kepada pegawai penyiasat sebelum ini.
“Tak mustahil kompaun ini ada kaitan dengan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Saya sedang rujuk peguam dan akan jawab surat tersebut secara rasmi dalam masa terdekat,” katanya lagi.
Shafiq menegaskan beliau menolak segala tuduhan yang dikenakan dan menyifatkan tindakan MCMC sebagai satu usaha menutup mulut pihak yang bersuara.-SAHIH