Remaja perempuan maut dalam kemalangan selepas kelas mengaji.
Foto : Kemalangan meragut nyawa pembonceng remaja perempuan dalam perjalanan blik dari kelas mengaji Al-Quran, petng semalam.
Remaja perempuan maut dalam kemalangan selepas kelas mengaji.
LIPIS : Seorang pembonceng perempuan berusia 14 tahun maut dalam perjalanan balik selepas selesai kelas mengaji Al-Quran di Kilometer 20, Jalan Lipis – Merapoh berdekatan Kampung Gua dekat sini.
Kemalangan jalan raya itu melibatkan motosikal yang dibonceng bersama rakannya apabila bertembung dengan sebuah lori pada jam 5.50 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden, Ismail Man berkata, mangsa, Nor Arisya Husniyah Azli Hisham, berusia 14 tahun, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian.
“Hasil siasatan awal, mangsa membonceng motosikal bersama rakannya yang baharu sahaja selesai kelas mengaji di kampung itu menghala ke arah Padang Tengku.
“Setiba di simpang tiga Padang Tengku, motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 58 tahun dari arah Ladang Selborne yang hendak pulang ke rumahnya di Kampung Selindang,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, akibat kejadian itu, Nor Arisya Husniyah maut di tempat kejadian, manakala rakannya yang membawa motosikal dikejarkan ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut.
“Kes kemalangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -SAHIH