Projek 3 Dalam 1 Bantu Tingkat Imej Pelangai
Projek 3 Dalam 1 Bantu Tingkat Imej Pelangai
BENTONG – Pelaksanaan projek menggunakan konsep ‘tiga dalam satu’ mampu meningkatkan imej Pelangai sebagai kawasan berpotensi dalam sektor agro makanan.
Ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun berkata, model ‘tiga dalam satu’ itu juga boleh meningkatkan peluang pekerjaan dan membangunkan industri hiliran lain di kawasan itu.
“Macam kita tengok syarikat swasta ini, dia ada penternakan secara fidlot, tanaman cili fertigasi dan juga (kolam) ikan.
“Maknanya, ada tiga projek sekali jalan diusahakan syarikat terbabit dan ianya sangat penting untuk menjadikan Pelangai sebagai model di Pahang.
“Syarikat ini juga menghasilkan makanan sendiri untuk ternakan mereka, ada mesin dan membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D), menunjukkan mereka serius dalam hal ini,”
Beliau, berkata demikian selepas merasmikan Pusat Pembangunan Pertanian dan Penternakan Berteknologi di Pelangai, Bentong.
Johari yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga boleh dimajukan di Pelangai dan sedang dalam perancangan pihaknya.
“Pengusaha atau penduduk di sini boleh mengusahakan tanaman pisang sebagai contoh, kalau nak tunggu pisang itu boleh dijual, mungkin ambil masa.
“Jadi, kena ada PKS, pisang itu kita buat kerepek, secara tak langsung wujud peluang pekerjaan di situ.
“Rantaian peluang pekerjaan dan ekonomi bertambah rancak bila ada PKS dan dibantu dengan FAMA yang bersama kita, saya percaya ia boleh dilaksanakan,” katanya.-SAHIH.