POLIS CARI JIJI DAN JIMI SUSULAN KES TETAK
POLIS CARI JIJI DAN JIMI SUSULAN KES TETAK
Bachok: Dua daripada tiga suspek kes tetak seorang lelaki mencari burung murai peliharaannya yang hilang di Kampung Pauh Jabit, Tawang di sini, semalam mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, dua suspek dikenal pasti adalah Mohamad Fairu Azizi Nawi, 35 yang dikenali sebagai Jiji, manakala rakannya, Muhammad Azmi Abdul Aziz,36 dikenali sebagai Jimi.
Katanya, Jiji mempunyai empat rekod jenayah membabitkan dadah iaitu satu kes Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, satu kes Seksyen 39(A) ADB 1952 dan dua kes positif dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
“Manakala, Jimi mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 23(1)(n) NRR iaitu tiada pengenalan diri ketika ditangkap.
“Polis sudah ke rumah suspek namun mereka dipercayai melarikan diri dan operasi menjejaki giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohamad Ismail berkata, pihaknya juga sedang mengesan seorang lagi suspek yang belum dikenal pasti identitinya.
Katanya, polis meminta orang awam yang mengetahui kedudukan suspek supaya menghubungi balai polis terdekat.
Terdahulu, seorang lelaki dikenali Mohd Roslaidi Arifin, 42, cedera parah ditetak tiga lelaki dalam kejadian di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus, Kampung Pauh Jabit,Tawang, jam 4 petang, semalam.
Mangsa putus ibu jari kanan, luka di kepala, betis kanan dan lutut kiri ditetak menggunakan sebilah golok dan pedang, lapor HM online
Mangsa sebelum itu, dipercayai ke rumah salah seorang suspek dikenali Jiji bagi mencari lelaki bernama Farid yang dikatakan mencuri burung murai cerek miliknya sebelum berlaku pergaduhan yang membawa kepada mangsa ditetak.
Disiarkan pada: August 23, 2021 @ 3:36pm
Oleh Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my