PINTU MASUK PAKR 410 DITUTUP
PINTU MASUK PAKR 410 DITUTUP
JERANTUT : Tiga pintu masuk ke kawasan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bandar Jerantut (410) ditutup dengan penghadang jalan dan satu pintu masuk dikawal oleh pihak polis ekoran seorang penduduk di situ disahkan positif Covid-19 setelah pulang dari Sabah bermula malam tadi.
Pesakit berusia 51 tahun itu telah pergi ke Sabah bersama seorang anak dan seorang saudara pada 19 September dan kembali ke semenanjung melalui penerbangan MH2631 jam 6.30 petang pada 21 September, pesakit telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk dikuarantin pada 24 September.
Menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terdapat dua kes melibatkan warganegara Malaysia yang baru pulang dari Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata diingatkan individu bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah wajib melakukan ujian saringan COVID-19 di pusat kesihatan berhampiran
“Individu tidak bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah amat digalakkan untuk melakukan ujian saringan dan kuarantin kendiri bagi melindungi ahli keluarga, rakan-rakan serta masyarakat di sekitarnya, sebarang perubahan kepada arahan ini akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa, selain itu elakkan mempercayai dan menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau palsu,” katanya.
Sementara itu, makluman yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Jerantut (MDJ), pasar malam Sabtu dan pekan sehari Ahad ditutup kerana lokasi pasar malam dan pekan sehari itu berdekatan dengan kawasan Perumahan Awam Kos Rendah itu.