Persatuan pesara gesa tindakan tegas susulan kerugian pelaburan KWAP
Persatuan pesara gesa tindakan tegas susulan kerugian pelaburan KWAP
JERANTUT: Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPM) menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas susulan kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah kira-kira RM220 juta dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, yang berdepan dakwaan penyelewengan kewangan.
Presidennya, Datuk Jemale Paiman, berkata pihaknya terkejut dan dukacita dengan perkembangan berkenaan kerana pelaburan itu membabitkan dana persaraan hasil titik peluh penjawat awam.
Beliau berkata PPPPM yang mempunyai 19,945 ahli, bersama gabungan persatuan pesara kerajaan yang mewakili kira-kira 900,000 pesara, mendesak kerajaan menyiasat secara menyeluruh proses pelaburan berkenaan serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak dalam pengurusan atau lembaga pengarah yang didapati cuai.
“Kerajaan juga perlu berusaha mendapatkan semula dana pelaburan berkenaan bagi melindungi kepentingan KWAP dan para pesara.
“Rakyat berhak mengetahui bagaimana pelaburan berskala besar itu diluluskan, sama ada proses usaha wajar (due diligence) dilaksanakan dengan sewajarnya serta apakah langkah yang sedang diambil untuk memulihkan dana yang terjejas,” katanya dalam kenyataan.
Dalam perkembangan sama, Jemale berkata gabungan persatuan pesara turut mendesak kerajaan menyegerakan penyelesaian tuntutan pelarasan pencen berjumlah RM1.7 bilion, selaras dengan keputusan mahkamah yang memihak kepada pesara pada Januari 2025.
Katanya, isu pelarasan pencen yang dibawa Puan Aminah Ahmad bersama 56 pesara kerajaan ke mahkamah merupakan tuntutan yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Pencen dan Akta Pelarasan Pencen.
“Kami berharap kerajaan memberikan layanan yang adil dan saksama kepada pesara kerajaan sebagaimana pelarasan pencen yang dinikmati pesara hakim pada 2025,” katanya.
Beliau berkata tunggakan pelarasan pencen amat diperlukan bagi menampung kos rawatan, ubat-ubatan, peralatan kesihatan, utiliti serta peningkatan kos sara hidup.
Sehubungan itu, beliau merayu Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan supaya menyelesaikan isu berkenaan demi kebajikan dan kesejahteraan hampir 900,000 pesara kerajaan di seluruh negara.
“Ketelusan dan akauntabiliti perlu ditegakkan bagi memastikan keyakinan pesara terhadap pengurusan dana persaraan negara terus terpelihara,” katanya.-SAHIH.
