Penunggang remaja maut, pembonceng cedera dalam kemalangan di Jalan Lipis- Merapoh
Penunggang remaja maut, pembonceng cedera dalam kemalangan di Jalan Lipis- Merapoh
LIPIS : Seorang remaja yang menunggang motosikal jenis Honda C100 meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemboncengnya cedera dalam kemalangan yang berlaku di KM 48, Jalan Lipis-Merapoh dekat Kampung Petola, kira-kira jam 4.30 petang ini.
Penunggang yang meninggal dunia, Azam Afwan Mazlan (13) yang beralamat di Kampung Dada Kering, Padang Tengku, dekat sini adalah bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Sasak.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, pembonceng motosikal itu berusia 12 tahun mengalami kecederaan luka di kepala, perut dan lutut kanan.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Kampung Pagar Sasak menghala ke Merapoh.
“Apabila sampai di tempat kejadian, semasa sebuah kereta jenis Proton Wajah sedang memotong motosikal itu di jalan lurus, secara tiba-tiba motosikal itu dipercayai telah mengubah arah dari kiri ke kanan jalan,” katanya.
Katanya, tujuan perlakuan itu dipercayai penunggang itu cuba masuk ke simpang di sebelah kanan jalan untuk ke Kampung Bukit dan kereta itu tidak sempat untuk mengelak lalu telah melanggar motosikak di sebelah kiri.
“Akibat kemalangan itu, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng telah di bawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.
“ Bedahsiasat akan dijalankan selepas keputusan ujian swab Covid-19 diperolehi. Kemalangan disiasat di bawak Sek 41(1) APJ 1987,” katanya.-SAHIH.