Penunggang mati lemas dihanyutkan air deras banjir
Penunggang mati lemas dihanyutkan air deras banjir
KUANTAN – Seorang lelaki ditemui lemas selepas motosikal yang ditunggangnya dihanyutkan arus deras di Jalan Pulau Manis, Gambang,Kuantan,Pahang, hari ini.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas, Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali berkata, penungang motosikal terbabit dikenali sebagai M. Gunalan, 38.
Katanya, pihaknya BBP Taman Tas menerima panggilan mengenai mangsa yang dihanyutkan berhampiran dengan jirat Cina, Gambang, pada jam 12.40 tengah hari,tadi.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menaiki motosikal jenis EX5 menghala ke Kuantan-Segamat cuba menyeberangi arus air di atas jalan.
“Disebabkan arus terlalu deras, mangsa tidak dapat mengawal keadaan, motosikalnya turut dihanyutkan sehingga ke dalam kebun kelapa sawit yang berhampiran,” katanya.
Kata Mohd Hilmi, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 2.20 petang pada jarak 200 meter daripada lokasi mangsa dipercayai dihanyutkan arus air.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan menggunakan teknik Water Serface Rescue dengan melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kuantan dan Pasukan Bomba Sukarela Gambang seramai 24 anggota dan tiga jentera.
Mangsa telah diserahkan kepasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk di bawa ke Unit Forensik, Hospital Tengki Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan bagi bedah siasat. Kejadian itu merupakan kes kematian pertama akibat banjir setakat ini.-SAHIH.