Penguasa Kanan SPRM dipenjara 3 tahun, 2 sebatan
Penguasa Kanan SPRM dipenjara 3 tahun, 2 sebatan
KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak empat kali sepanjang berkhidmat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh tangkap dan dua sebatan.
Penguasa kanan SPRM tersebut dihukum penjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku bersalah menyalahguna wang rampasan agensi itu berjumlah RM25 juta dengan membeli pelbagai aset seperti rumah, tanah, kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi.
Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin mengenakan hukuman itu terhadap Shahrum Nizam Baharuddin, 41, selepas tertuduh mengaku salah terhadap tuduhan pilihan iaitu dengan curangnya menjadikan bagi kegunaan sendiri suatu harta iaitu wang berjumlah AS$6.94 juta (RM25 juta), pada Jumaat.
Shahrum Nizam didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK), Bahagian Siasatan, Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019.
Hakim turut mengarahkan harta yang dibeli dengan wang rampasan iaitu seutas jam tangan Hublot; sebuah kenderaan pacuan empat roda jenama Ford Raptor; sebuah kereta Honda Civic; sebuah kereta jenama Mercedes; dua motosikal berkuasa tinggi jenama Ducati.
Ia termasuk sebuah rumah dua setengah tingkat di Kota Warisan Sepang; dua bidang tanah di Jerantut; dan wang tunai RM8,700, wang tunai AS$4.07 juta dan RM1.6 juta, dilucut hak kepada kerajaan Malaysia melalui SPRM.
Sementara itu, Shahrum Nizam diwakili peguamnya, Ahmad Hafiz A Bakar memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan dan pengakuan itu perlu diberi kredit oleh mahkamah dalam menjatuhkan hukuman.
Ahmad Hafiz berkata tertuduh berkhidmat dengan SPRM sejak 14 November 2005 selain memperoleh APC sebanyak empat kali sepanjang perkhidmatannya.
Terdahulu, semasa menjatuhkan hukuman, Suzana berkata, mahkamah menerima pengakuan salah tertuduh yang turut mengakui fakta kes yang dibacakan terhadapnya.
“Mahkamah dapati kamu lakukan kesalahan dan dengan itu kamu disabitkan dengan tuduhan. Mahkamah ambil kira rayuan peguam bela dan hujahan timbalan pendakwa raya dan berharap hukuman ini dapat memberikan pengajaran kepada kamu dan mengelakkan daripada mengulangi kesalahan sama pada masa depan.
“Dengan itu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh tangkap dan dua sebatan,” katanya.
Mengikut fakta kes yang dibacakan oleh Ahmad Akram, wang rampasan itu diserahkan oleh pegawai penyiasat kepada Ketua Cawangan, Cawangan Tindakan Khas (KC CTK) untuk disimpan dalam peti besi.
Beliau berkata, Shahrum Nizam meminta KC CTK untuk menyerahkan sebahagian wang rampasan untuk dikira dan disahkan ketulenan, sebaliknya membawa AS$800 keluar daripada bangunan SPRM untuk ditukarkan kepada Ringgit Malaysia dengan bantuan seorang individu, pada 17 Disember 2018.
Katanya, tertuduh sekali lagi meminta wang rampasan dan membawa keluar wang AS$2,470,000 untuk ditukar kepada Ringgit Malaysia, pada 9 April 2019.
“Tertuduh turut menyerahkan sebuah beg berwarna ungu berisi AS$4.07 juta untuk disimpan kenalannya bagi dijadikan modal perniagaan.
“Perbuatannya terbongkar apabila pada 23 Ogos 2021, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur memerintahkan wang rampasan dipulangkan semula kepada Bahagian Penyelidikan (RD), Jabatan Perdana Menteri (JPM). Selepas diserahkan, pemeriksaan mendapati wang rampasan diragui ketulenannya,” katanya.
SUMBER : Wacanakini