Pejabat Pintar KPDNHEP bakal operasi Januari depan
Pejabat Pintar KPDNHEP bakal operasi Januari depan
BERA – Parlimen Bera akan menerima sebuah Pejabat Pintar (Smart Office), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang pertama di negara ini mulai Januari depan.
Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata pejabat itu akan dilengkapi dengan kemudahan digitalisasi terkini, bagi kemudahan pengguna dan peniaga setempat.
Katanya, kerajaan akan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat mendepani isu kos sara hidup dan inflasi semasa yang melanda seluruh dunia.
” Baru-baru ini, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi telah ditubuhkan bertujuan menangani peningkatan kos sara hidup dan kesannya, kenaikan harga lebih terkawal dengan jaminan rantaian bekalan makanan dan barangan lebih meyakinkan terutama ayam dan minyak masak dalam botol.
“Kerajaan turut menjenamakan semula Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) kepada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) membabitkan 600 buah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara dan 13 buah kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDi) dan penjenamaan semula program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) Peringkat Kebangsaan di Dataran Kerayong, di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi.
Katanya, untuk memastikan JMKM mencapai hasrat tersebut, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM80 juta melalui lima kementerian sebagai Agensi Pelaksana bagi menjayakan JMKM sehingga akhir tahun ini.-SAHIH.