Patuhi konsep 5B makan ubat! Program Kenali Ubat Anda! Beri penerangan amalan terbaik ambil ubat!
Patuhi konsep 5B makan ubat! Program Kenali Ubat Anda! Beri penerangan amalan terbaik ambil ubat!
ANDA kena sentiasa ingat, ketika berhajat mengambil ubat-ubatan pastikan amalkan konsep 5B iaitu memastikan pesakit yang betul, ubat yang betul, dos yang betul, cara pengambilan yang betul dan masa yang betul.
Dalam apa jua keadaan sekali pun selepas menerima rawatan daripada pegawai perubatan amalan konsep 5B perlu menjadi pedoman atau panduan apabila terpaksa bergantung kepada ubat untuk membantu penyembuhan sesuatu penyakit.
Duta Program Kenali Ubat Anda, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Profesor Amiruddin Ahmad, berkata saranan dalam konsep 5B itu wajar dititikberatkan masyarakat tanpa mengira usia apabila perlu melalui fasa penyembuhan sesuatu penyakit yang dihidapi.
Menurutnya, sehubungan dengan itu program berkenaan dibentuk bagi memberi bimbingan, pengetahuan dan panduan kepada masyarakat langkah yang perlu dilakukan apabila
Sebagai duta yang dilantik, Profesor Amiruddin aktif secara sukarela untuk membantu masyarakat dalam memberikan didikan serta penerangan yang sejelas mungkin mengenai penggunaan ubat secara betul dan menepati peraturan dalam penyembuhan penyakit.
Katanya, perkara itu amat perlu diberi perhatian kepada sesiapa sahaja yang terpaksa makan bermacam-macam ubat supaya penyakit yang dihidapi dapat disembuhkan dengan sempurna tanpa meninggalkan sebarang kesan sampingan.
“Dalam konsep 5B ini masyarakat diberikan penjelasan serta panduan untuk diikuti dengan penuh berdisiplin supaya ubat berkesan kepada penggunanya selain akur kepada penerangan dan nasihat pegawai perubatan yang mereka temui,” ujarnya yang ditemui dalam program berkenaan di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Pada program itu, Profesor Amiruddin yang sebelum ini bertugas sebagai pensyarah di Kolej Intitut Jantung Negara (IJN) bersama tujuh kakitangan Jabatan Farmasi Hospital Ampang, Selangor mengadakan sesi bimbangan, penerangan dan temu bual dengan petugas serta warga emas PJMM mengenai konsep 5B.
Beliau berkata, program turun padang itu juga secara tidak langsung meningkatkan kefahaman kakitangan farmasi terbabit mengenai permasalahan khusus warga emas mengenai pengambilan ubat yang perlu dipatuhi.
Menurutnya, perkara itu penting dan memberi banyak manfaat kepada mereka apabila dapat mengetahui serta memahami masalah yang dihadapi warga emas apabila terpaksa bergantung kepada ubat untuk memulih kesejahteraan kesihatan.
“Sesi temu bual dengan warga emas terbabit akan memberi pendedahan mengenai kesan ubat yang digunakan dan kesempatan ini mereka berpeluang mengutarakan nasihat perlu dilakukan supaya pengambilan ubat tidak terhenti begitu sahaja,” ujarnya.
Profesor Amiruddin berkata, sebagai duta dia turut mengadakan program bulanan itu membabitkan di lokasi komuniti masyarakat dan juga sekolah apabila ada jemputan dibuat terutama membabitkan pendedahan serta penerangan konsep 5B yang amat berguna kepada generasi muda pada peringkat sekolah.
Menurutnya, di samping itu dia bersama pasukan kakitangan farmasi terbabit akan mengunjungi atau melawat pesakit di rumah memberi nasihat mengenai cara pengambilan ubat yang betul dalam ikhtiar menyembuhkan penyakit dihadapi dengan berkesan.
“Kunjungan pesakit di rumah terpaksa dilakukan apabila mereka ini tidak dapat hadir ke hospital untuk mendapatkan bekalan ubat dan sebagainya kerana masalah kesihatan terutama sukar untuk bergerak kerana keuzuran.
“Kita akan ke rumah mereka memberi bimbingan serta motivasi betapa pentingnya ubat-ubatan yang perlu diambil selain mengenal pasti kesukaran untuk ke hospital bagi meneruskan mendapatkan bekalan ubat seperti mana ditetapkan oleh pegawai perubatan,” katanya lagi. -SAHIH.