Pantai Kelanang tidak sunyi lagi
Pantai Kelanang tidak sunyi lagi
BANTING – Pantai Morib sudah sinonim dengan penduduk di Kuala Langat dan juga daerah berdekatan, malah menjadi tempat rekreasi utama setiap kali hujung minggu dan cuti umum kerana kedudukannya yang tidak jauh dari Lembah Klang.
Namun, Pantai Kelanang yang dianggap ‘hidden beach’ kini mula dikenali ramai sejak hampir kebelakang ini kerana kedudukannya yang tidak jauh dari pantai Morib serta menyajikan keindahan semulajadi dan kemudahan awam yang baik.
Seorang penduduk tempatan, Suhairi Harun (52) berkata, pantai ini tidak jauh dari Pantai Morib dan mula dikenali ramai kira-kira 10 tahun lalu oleh penduduk tempatan sebagai tempat orang kampung beriadah.
“Bermula dengan usaha Badan Kebajikan Sukarelawan Pantai (BKSP) yang memajukan kawasan ini secara beransur-ansur akhirnya mendapat bantuan dan kerjasama daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat yang menyediakan kemudahan.
“Orang ramai mula berkunjung ke pantai ini kerana mempunyai keistimewaan tersendiri dengan penjaja menjual makanan laut seperti pepahat atau siput buluh, lokan, kepah selain ikan laut segar,” katanya.
Katanya, orang tempatan sangat berbangga dengan pantai ini dan ahli BKSP seramai kira-kira 50 orang sering berikhtiar memajukannya dan berusaha memperkenalkan kepada orang luar.
Peniaga hasil laut, lebih digemar dipanggil Mali Udang (55) berkata, setiap hujung minggu banyak menjual ikan segar, kepah, lokan, udang dan pepahat.
“Harga berpatutan dan hasil yang segar, orang ramai datang ke sini untuk membeli termasuk peniaga kedai makan yang membeli dengan jumlah yang banyak.
“Kepah yang terkenal di pantai Morib dan pepahat di pantai Kelanang sudah dikenali ramai dengan keenakannya jika dimasak serta kurang berpasir,” katanya.
Seorang peniaga, Cahaya Ayu Mahmud (53) berkata, di pantai itu kerap diadakan pelbagai acara di pantai khususnya di hujung minggu dan cuti umum, menjadikan pantai ini dikunjungi ramai.
“Selain itu kawasan pantai dianggap ‘dalam kampung’, pengunjung boleh menikmati pemandangan matahari terbenam yang indah serta lautan yang mempesonakan.
“Kawasan permainan taman kanak-kanak turut disediakan di samping berseronok bermain layang-layang serta bersantai dengan merasai kelembutan pasir pantai di tapak kaki dan melakukan banyak lagi aktiviti lain,” katanya.
Seorang pengunjung dari Puchong, Azmi Ibrahim (45), berkata tempat letak kereta yang luas serta mencukupi dan berdekatan dengan pantai, selain itu diselenggara dengan baik, bersih dan pantai yang panjang.
“Bagi penggemar yang suka berkhemah, di pantai ini amat sesuai, redup di bawah pokok dengan dengan udara yang bertiupan di sini agak nyaman, mungkin terdapat lebih banyak pokok yang tumbuh di sepanjang pantai.
“Selain itu, pemandang indah laut Selat Melaka dan dikelilingi oleh pohon-pohon yang besar, kayu bakau dan pokok rhu mula menjadikan Pantai Kelanang menjadi pilihan ramai untuk beriadah,” katanya.
Bahriah Ramli (58) dari Jerantut, Pahang turut setuju dengan suasana semulajadi pantai itu yang amat menarik dan berharap pihak berkaitan dan orang ramai menjaga alam sekitar dan kebersihannya.
“Pantai ini berpotensi akan dikenali ramai kerana sebagai pilihan dan sokongan kepada pantai Morib ketika waktu puncak yang selalu sesak dengan pengunjung,”katanya.-SAHIH.